Powered by Blogger.

Gugurnya Sebutir Mutiara

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabah serta sahabiah sekalian.....


Perasaan terkejut, tak percaya dan sugul tatkala mengetahui apabila seorang pejuang Islam dijemput mengadap Illahi. Bahkan sebelum ini pun saya tidak mengetahui bahawa Allahyarhamah Dr. Lo' Lo sedang sakit.

Lo'Lo bermakna MUTIARA.

Semasa pilihanraya 2008, semalaman saya tidak tidur untuk melihat keputusan pilihan raya tersebut. Perasaan teruja berkobar-kobar dalam diri saya apabila Dr. Lo' Lo diumumkan memenangi kerusi Titiwangsa. Teruja disebabkan beliau memenangi kerusi Titiwangsa. Sebuah kerusi Parlimen dibawah Wilayah. Bukan calang-calang orang dapat kerusi yang penduduknya bermacam-macam kaum, berada di kawasan bandar. Tambahan beliau pula adalah muslimat.

Pemergian beliau pada jam 10.15 malam, 15 Syaaban diiringi doa dah Al Fatihah oleh semua penduduk seluruh Malaysia melalui pelbagai kaedah dan yang paling ketara dapat dilihat melalui laman sosial facebook. Jenazahnya dikebumikan keesokan hari. Diimankan oleh Tuan Guru Haji Hadi dan kira-kira 200 orang lagi turut bersama. Boleh dilihat dalam youtube, betapa ramainya mengiringi jenazah Allahyarhamah untuk proses pengebumian. Dalam twitter pula tidak putus-putus ucapan takziah untuk keluarganya antaranya daripada Azmin Ali, Lim Kit Siang dan DS Anwar Ibrahim Disini membuktikan ramai terkesan di atas pemergian Allahyarhamah


NONE


Saya kutip beberapa ucapan oleh beberapa keluarga dan sahabatnya untuk tatapan bersama.

Beliau memesan kepada anak-anak muda, anak-anak remaja jangan tinggalkan solat. Yang kedua beliau minta jaga akhlak dan jauhi zina.Yang ketiga dia memesan kepada ulama dan para pemimpin untuk turun bersama-sama memperbaiki akhlak masyarakat di Malaysia.(Mohd Fauwwaz Aminuddin-anakanda Allahyarhamah Dr. Lo'Lo)
Dr. Lo'Lo biasanya akan membawa watak sebagai seorang ibu yang banyak memberi peringatan kepada anak-anaknya kadang-kadang dalam bentuk leteran. Tetapi, bagi saya leteren itu banyak memberi ransangan untuk kita bekerja lebih kuat.(Datuk Mahfuz Omar-Naib Presiden Pas)
Sebenarnya penglibatan Allahyarhaman Dr. Lo'Lo dan parlimen cukup memberikan kesan yang hebat kerana Allahyarhamah selalu berdebat yang akhir sekali mempertahankan hak rakyat Kampung Baru supaya tidak disalahgunakan tanah-tanah yang ada serta menentang penubuhan Perbadanan Kampung Baru.(Dato' Seri Nizar Jamaluddin-ahli Parlimen Bukit Gantang)
Di saat akhir semasa persidangan akhir Dewan Rakyat baru-baru ini iaitu yang bermula pada 13 Jun, apabila sidang Dewan Rakyat nak bermula, pihak Dewan Rakyat telah "modified" kerusi dan meja sesuai beliau dengan kerusi roda. Pada hari itu beliau cukup-cukup berazam bersungguh-sungguh untuk ke Dewan Rakyat tapi dengan takdir Allah kaki beliau tidak dapat digerakkan sehingga beliau dihantar ke hospital.(Siti Zailah Mohd Yusof-Ketua Dewan Muslimat)
Selain itu, beberapa buah penulisan ditujukan kepadanya daripada yang mengenali Allahyarhamah Dr. Lo'Lo' yang dibaca sangat menyentuh hati antaranya daripada Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Mohd Sayuti Omar dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil(saifulislam.com).

Disini saya ambil secara ringkas ulasan mereka. Selebihnya sahabat sekalian boleh membaca dengan menekan "link" yang saya sertakan bersama.

Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu.Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo'lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo'lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo'lo' sejak sebelum saya menjadi mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya.

Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut “Saya juga seorang manusia yang daif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

“Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pellbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam.

“Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau.
(DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN)


Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah-tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas. Kelihatan manja tetapi tegas. Ia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain.(MOHD SAYUTI OMAR)


Dr. Lo’lo memikul tanggungjawab yang amat besar di kawasan Parlimen Titiwangsa. Isu Kampung Baru yang amat meruncing, kesamsengan pelbagai pihak yang rakus dengan nilai kampung di perut kosmopolitan itu, menjadikan beliau seorang perajurit mempertahankan apa yang beliau yakini sebagai keadilan dan kebenaran untuk mereka yang berhak. Dari semasa ke semasa, ada poster fitnah digantung di sana sini oleh ‘puak-puak itu’ biar pun ketika Dr. Lo’lo sedang bertarung di peringkat akhir kanser beliau dalam sebulan dua ini.

Saya banyak memerhati dari pinggir kota.

Usaha saya berada di medan yang sedikit berbeza.

Saya tahu YB Dr. Lo’lo adalah seorang pemimpin masyarakat, PAS dan Pakatan Rakyat yang amat menitik beratkan pemerkasaan institusi keluarga. Malah tidak keterlaluan saya katakan, sebelum beliau memimpin massa, beliau adalah seorang isteri dan ibu yang telah menjadi adiwira di dalam lingkungan keluarganya sendiri. Saya mengenali beliau sebagai public figure sejak sekian lama, sentiasa mengingati kebanggaan bapa mertua saya yang semasa bertugas sebagai Naib Qadhi, telah menikahkah Prof Aminuddin dengan Dr. Lo’lo, lama dahulu.(USTAZ HASRIZAL MOHD JAMIL)

http://saifulislam.com/?p=10185#.TiQ9HesLz77.facebook

Yang hidup akan kembali. Dunia hanya persinggahan. Persinggahan untuk menuju kepada sang pemilik nyawa. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama-sama dengan rph nabiyyin, solihin dan para syuhada. Insya-Allah. Semangatnya menjadi pembakar semangat semua mujahidah dan turut sama para mujahid. Perjuangannya untuk memastikan syiar Islam tertegak dimuka bumi ini akan diteruskan.

Dalam kenangan: ALLAHYARHAMAH DR. LO'LO GHAZALI, AHLI PARLIMEN TITIWANGSA)

Sama-sama kita sedekahkan AL-FATIHAH....

Wassalam..


Materialistik: Satu Bencana Besar!

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabat dan sahabiah yang sudi menjenguk blog yang tak seberapa ini.

Ucapan syukur dirafakkan kepada Yang Maha Esa kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas di dunia yang sementara ini.

Sebulan tak ada post baharu tapi untuk bulan ini(Julai) dah masuk post yang ketiga. Entry kali ini mahu berkongsikan mengenai satu sifat yang boleh dikatakan telah sebati dalam masyarakat dunia pada masa kini. Tak kiralah dia agama apa pun, bangsa apa pun. Tapi sifat ini untuk mereka yang beragama Islam tersangatlah berbahaya. Bukan sahaja berbahaya untuk individu dan masyarakat malah turut mengancam agama Islam di muka bumi milik Allah S.W.T ini.


Sifar yang saya maksudkan tadi adalah sifat "MATERIALISTIK". Materialistik ini kalau didefinisikan secara mudah adalah mencintai, mengutamakan kebendaan melebihi segala-galanya termasuk Allah S.W.T.

Saya mahu berkongsi bersama-sama sahabat serta sahabiah sekalian mengenai beberapa kesan buruk yang kita sedar mahupun kita buat-buat tidak sedar mengenai sifat materialistik ini.

Membunuh Kecintaan Kepada Ilmu

Bagaimana kecintaan kepada ilmu boleh dibunuh oleh sifat materialistik ini teorinya mudah sahaja. Masa kita belajar sejak dari umur 6 tahun hinggalah sekarang betulkan niat kita belajar? Betulkan kita belajar untuk mendapat ilmu semata-mata.

Bagi saya, saya katakan tidak. Kebanyakan kita telah ditanam dalam diri kita bahawa matlamat kita belajar adalah untuk mendapat pekerjaan yang memberi ganjaran yang lumayan pada masa hadapan.

Akibatnya ramai dalam kalangan kita bimbang sekiranya habis sahaja kita belajar kita tidak memperolehi pekerjaan sepertimana yang telah dihajatkan. Contohnya mereka yang belajar di universiti yang mengambil jurusan seperti pendidikan. Perasaan bimbang menghantui setiap mahasiswa sekiranya suatu hari nanti apabila telah "graduate" mereka tidak dapat menjadi guru.

Dengan pekerjaan bila-bila masa sahaja kita akan boleh hilangnya tetapi dengan ilmu yang didalami dengan ikhlas kerana Allah S.W.T maka ianya akan kekal sampai bila-bila walaupun Illahi telah menjemput kita. Sabda Rasulullah S.A.W:

Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya”
[Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari]

Melahirkan Pemimpin Yang Fasik

Ramai orang berlumba mahu jadi pemimpin. Berlumba-lumba mahu pangkat yang lebih besar. Tapi ramai dalam kalangan mereka tidak sedar bahawa besarnya tanggunjawab seorang pemimpin di sisi Islam. Kunci paling penting untuk seorang pemimpin adalah beriman dan bertaqwa. Melalui keimanan dan ketaqwaan ini maka akan lahirlah kejujuran, keadilan dan sebagainya.

Namun pada masa kini, ramai yang berlumba-lumba mahu jadi pemimpin untuk menjadi kaya. Pemimpin sebenarnya bukanlah kerjaya yang menjaminkan kehidupan yang mewah. Lihat sahaja Rasulullah S.A.W. Baginda penuh dengan kesederhanaan. Mengutamakan ummahnya melebihi diri sendiri. Itulah sebenarnya ciri seorang pemimpin.

Zaman kini penuh pemimpin yang korupsi, pemimpin yang mengutamakan perut mereka lebih daripada kebajikan rakyat. Puncanya, sifat materialistik seorang pemimpin itu. Mereka melihatkan pangkat itu sebagai wang bukannya sebagai amanah. Selenggara rumah berjuta ringgit, cincin berjuta ringgit. Kalau benarlah cincin itu dibeli dengan duit simpanan sendiri maka disitu telah mencerminkan betapa borosnya pemimpin masa kini. Kalau dibiayai melalui duit rakyat maka saya yakin tiada rakyat akan menghalalkannya.

Gerakan Kristianisasi

Sifat materialistik merosakkan akidah seseorang. Bukti ini yang paling jelas lagi nyata. Gerakan Kristianisasi. Banyak menyerang negara-negara seperti Sudan, Indonesia malah telah pun bertapak di Malaysia. Gerakan Kristianisasi adalah satu gerakan untuk memurtadkan orang Islam. Gerakan ini dibiayai oleh institusi gereja di negara-negara barat seperti Perancis, Itali dan lain-lain lagi.

Caranya yang digunakan untuk memesongkan akidah umat Islam adalah dengan bertapak di kawasan yang mempunyai kemiskinan yang tinggi. Mereka menunjukkan kebaikan mereka dengan memberi bantuan berbentuk wang ringgit dan harta benda. Orang miskin kebanyakkan mudah terpengaruh dengan gerakan ini. Mereka yang biasanya hidup melarat, apabila dibantu maka mereka akan mudah terhutang budi.

Maka akan timbulah dalam pemikiran orang miskin yang ditolong oleh Gerakan Kristianisasi tadi keburukan orang Islam dan kebaikan orang kafir maka mereka mengambil keputusan untuk keluar daripada Islam. Diceritakan oleh Ustaz bahawa mereka yang berjaya mengkafirkan orang Islam maka mereka akan dibayar RM2000-RM5000 per bilangan orang yang dimurtadkan.

Mengikut buku karya Ann Wang Seng dalam bukunya Murtad:Jangan Pandang Sebelah mata, satu laporan di sebuah perkampungan Islam dalam daerah Ponogoro, Jawa Timur telah bertukar menjadi perkampungan Kristian apabila seorang guru Katolik tiba di kampung tersebut. Untuk memahami keadaan murtad pada masa kini anda semua boleh mendapatkan buku tersebut. Saya gerenti....TAK RUGI!!!!

Kekayaan Dimonopoli Oleh Golongan Tertentu

Harta sepertimana pemerintah adalah satu amanah. Jika kita tengok situasi kini, harta ini hanya dimonopoli oleh golongan tertentu. Kita tengok mereka bangga dengan Gelaran Manusia Terkaya Di Dunia atau Manusia Terkaya Di Malaysia.

Harta bukanlah suatu untuk dibangga-bangga. Tetapi harta yang dikurniakan oleh Allah S.W.T adalah amanah untuk dibahagikan kepada mereka yang tidak mampu. Ada mereka yang berharta ini lupa diri. Mereka beranggapan bahawa wang yang mereka dapat adalah daripada usaha mereka. Orang miskin ini orang yang malas.

Mereka sebenarnya salah. Rezeki itu kurniaan Allah S.W.T. Ada yang diberi banyak. Ada yang diberi sedikit. Yang kaya itulah sepatutnya membantu yang miskin. Allah S.W.T memurkai mereka yang tidak membantu golongan yang miskin ini sepertimana firman-Nya dalam Surah Al Maaun(Ayat 1-3):

Tahukah(kamu)orang yang mendustai agama? Maka itulah orang yang mengenherdik anak yatim. Dan tidak mendorong memberi makan kepada orang miskin.

Ada banyak lagi kesan buruk apabila mempunyai sifat materialistik. Tidak mahu memanjangkan lagi hujah sekadar mahu mengambil contoh individu yang tidak menjadikan harta mereka sebagai Tuhan. Antarnya para khalifah Khulafa Ar Rasyidin terutamanya Abu Bakar As Siddiq yang menginfakkan kesemua hartanya untuk jalan Allah S.W.T. Selain itu, Fatimah Az Zahra, puteri kesayangan nabi yang yang berkahwin dengan Saidina Ali walaupun Saidina Ali tidak berharta. Rabiatul Adawiyah yang sanggup menjalankan kehidupan yang dhaif dengan hanya berpakaian compang camping dan tinggal di rumah yang kecil. Baginya harta benda melalaikan dan menganggu kecintaannya kepada Sang Khaliq. Bukan tiada mahu membantunya tetapi dia yang menolakkannya dengan alasan dia bukan orang yang memerlukan.

Saya mahu mengingati diri saya bahawa tujuan hidup bukan untuk wang. Tujuan hidup adalah supaya dirahmati oleh Pemilik Hari Pembalasan.

Setakat itu sahajalah tinta pada malam yang sejuk ini. Tulis banyak-banyak pun bukan ada yang mahu baca. Yang membaca entry ini ucapan Alhamdulillah kepada Maha Esa dikirimkan.

Insya-Allah. Panjang umur, adalah entry baru.

Sekian.

Wassalam......

Saya Jatuh Hati Dengan Ang Wang Seng

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabat serta sahabiah sekalian......

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi dengan limpah dan kurnia-Nya kerana diberi kesempatan untuk mencoretkan satu titipan buat perkongsian bersama.

Perkongsian kali ini adalah untuk bercerita mengenai seorang penceramah bebas dan penulis berbangsa Cina dan beragama Islam. Siapa lagi kalau tidak lain tidak bukan, Ang Wang Seng.


Syukur juga diucapkan kepada Illahi kerana tanggal 15 Julai 2011 dipertemukan dengan Ustaz Ang Wang Seng dalam sebuah majlis ilmu di Masjid Mukim Chekok(kampung saya).

Bercerita mengenai Ustaz Ang Wang Seng ini, saya mula mengenai beliau secara tidak langsung melalui sebuah bukunya yang bertajuk "Murtad:Jangan Pandang Sebelah Mata". Semasa saya beli buku ini, cetakannya sudah pada angkat empat dan menurutnya, cetakan kelima adalah pada masa terdekat.

Alhamdulillah, banyak perkongsian yang bermanfaat dikongsikan olehnya dalam kuliah magrib malam ini(15/07/11). Kuliah magribnya pada malam ini tidak terikat dengan mana-mana tajuk. Boleh dikatakan kuliah magribnya malam ini yang mengambil masa lebih kurang satu jam setengah merangkumi pelbagai aspek. Dari bab akidah ke bab ibadat dan tauhid. Dari tauhid ke isu semasa dalam negara. Dari isu semasa beliau menceritakan pula secara ringkas buku-buku yang ditulisnya. Diakhiri dengan sirah.

Dalam kuliah magribnya juga dikongsikan pelbagai pengalam hidupnya. Dari mula-mula dia memeluk Islam dia menceritakan perihal penerimaan keluarganya terhadap keputusannya. Penerimaan awal keluarganya adalah bercorak menentang. Dia memberitahu terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keluarganya menentang dia memeluk Islam. Antaranya:

  1. Ibu bapanya bimbang sekiranya dia memeluk Islam bermakna dia akan terputus hubungan.
  2. Keluarganya juga bimbang sekiranya dia memeluk Islam bermakna dia masuk Melayu.

Diceritakan pula mengenai perihal masyarakat Islam di China. Diceritakan bagaimana Islam itu berkembang di negeri China dari dahulu sehingga kini dan dikongsikan di dalam sebuah bukunya yang bertajuk "Islam Di China". Banyak fakta baru diperolehi dan kita tidak akan dapat dengan hanya belajar mata pelajaran Sejarah di sekolah.

Melalui cerita yang dikongsikan secara ringkas ini, terbit rasa kagum terhadap masyarakat Islam di negara China. Tiba-tiba terasa mahu melawat China. =)

Satu fakta yang tidak disorok olehnya adalah dia merupakan antara bekas tahanan ISA. Sebabnya ditahan kerana memberikan ceramah. Bukan setakat ditahan di bawah ISA, dia juga pernah beberapa kali ditahan.

Secara keseluruhannya, terbit rasa kagum terhadap keperibadianya. Wajahnya yang putih. Jernih dengan nur keimanan. Sikapnya yang tawadduk. Tauhid yang tinggi. Lancar dalam berhujah yang diperkuatkan dengan Al Quran, Hadis dan pengalaman membuatkan semua jemaah tersenyum walaupun pertama kali berjumpa dengannya.

Satu lagi saya "respek" dengannya adalah rasa tanggunjawabnya terhadap isu murtad. Beliau yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan China India Muslim amat peka dengan isu ini. Berbeza dengan kita yang dilahirkan sejak azali Islam. Kadang-kadang kita tak ambil kisah pun mengenai isu murtad ini. Masing-masing jaga hal masing-masing. Bercakap mengenai isu murtad ini teringat pula dengan Ambiga yang memperjuangkan kemurtadan Lina Joy. Ramai yang melahirkan rasa marah kepada Ambiga. Kebetulan pula Malaysia dilanda dengan Isu Perhimpunan Bersih yang diilhamkan oleh Ambiga ini. Ramai yang tidak bersetuju dengan Perhimpunan Bersih ini dengan mengatakan bahawa Ambiga ini memperjuangkan murtad. Tidak mahu mengulas isu ini sekadar melahirkan rasa kesal.


Kesal dengan mereka dalam kalangan kita hanya sibuk berbicara mengenai isu murtad ini apabila hanya digembar gemburkan. Kita tidak sedar sudah banyak kes yang orang yang murtad ini. Ingat kes Aisyah Bukhari? dan beberapa lagi kes(boleh dibaca dalam buku Murtad:Jangan Pandang Sebelah Mata). Sepatutnya dari dulu lagi kita buka mata bukan hanya buka mata ketika Isu Bersih baru-baru ini. Tu yang Melayu, yang mualaf dan kembali murtad belum lagi dikira.

Maka lahirlah satu lagi buku karyanya yang belum lagi berada dalam pasaran yang bertajuk "Setiap Kamu Adalah Pendakwah". Buku yang ditulis untuk membantu berdakwah kepada orang bukan Islam.

Buku-buku yang lain ditulisnya adalah "Biar Orang Cina Pimpin Islam" dan beberapa lagi. Karyanya boleh dikatakan melangkumi sempadan perkauman. Karya boleh dikatakan untuk membuktikan bahawa Islam itu syumul. Islam itu bukan untuk Melayu. Islam tidak mementingkan ras dan warna kulit. Dan hanya dengan Islam sahajalah perpaduan dapat diwujudkan.


Saya mengistiharkan pada hari ini bahawa "Saya Jatuh Hati Dengan Ustaz Ang Wang Seng". Saya senaraikan Ang Wang Seng antara penceramah bebas dan penulis idola saya.

Semoga perkongsian ini dapat membuka hati orang Melayu supaya mengetepikan ketaksuban kepada sesuatu kaum. Jangan menganggap Islam itu hanya untuk Melayu. Jangan cerca sekiranya kita tengok orang bukan Islam membaca Al Quran kerana disitulah mereka akan menemui kebenaran.

Panggil Saya Cina Muslim
Jangan Panggil Saya Cina Kafir
Kalau Nak Panggil Cina Mualaf Pun Boleh
^_^
(Ustaz Ang Wang Seng)

Setakat ini sahaja dahulu. Insya-Allah, kalau sempat saya habis baca buku-bukunya saya akan kongsikan disini.

Terima kasih kerana sudi baca entry yang tak seberapa ini.

Wassalam......