Powered by Blogger.

Aku dan Rakan Penggerak Ad-Din(RPA)


Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabat serta sahabiah sekalian.

Sudah lama rasanya jari jemari ini tidak menulis coretan baru dalam blog ini. Beberapa hari sebelum bulan puasa, saya mengambil keputusan drastik dengan menamatkan(terminated) secara mutlak "broadband" sebabnya kalau saya dapat internet memang susah mahu kawalnya.

Jadi, bagi mengelakkan daripada terlepas tarbiyah Ramadhan maka saya ucapkan "selamat tinggal broadbandku". Siap patahkan sim kad lagi dan yang tinggal hanya USBnya. =)

Berbalik kepada tajuk asal. Seminggu masuk UPSI bagi menjalani semester 3 sudah bermacam-macam isu dan perubahanyang wujud. Tidak terlewat rasanya untuk saya mengucapkan tahniah kepada Prof. Dr. Zakaria Kasa kerana dilantik menjadi Naib Canselor baru bagi mengantikan Prof. Aminah Ayob yang tamat tempoh perkhidmatannya. Buat Prof. Aminah Ayob, terima kasih diucapkan atas segala keringat yang ditaburkan buat mahasiswa Ibu Kandung Suluh Budiman.

Yang itu berita baik. Yang saya mahu perkatakan ini pula adalah isu. Biasanya kalau perkataan isu ini mesti menjuruskan kepada sesuatu yang kontra.

Apa isu itu?

Program Rakan Penggerak Ad-Din(RPA) akan dimansuhkan?


Masih lagi bertanda soal bermakna kedudukan ini masih digantung tidak bertali. Pengerusi RPA Pusat iaitu saudara Amirul Amran sudahpun membuat pencerahan mengenai isu ini. Berikut adalah penjelasan beliau:

Assalamuaikum. w.b.t.

Bagi menjelaskan kedudukan Program Penggerak Ad-Din pada semester ini, saya telah membuat satu pertemuan dengan TNC HEPA, Datuk Paduka Dr. Junaidi bin Abu Bakar petang semalan di pejabatnya. Dalam pertemuan ringkas tersebut, TNC HEPA telah mengiktiraf program ini di peringkat universiti dan menganggap program ini sebagai program yang amat baik bagi peningkatan ilmu dan sahsiah mahasiswa/wi. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Program RPA akan ditangguhkan seketika pada semester ini bagi memberi ruang kepada program bersifat keagamaan yang lebih besar dan hebat bakal dilakukan oleh pihak pentadbiran UPSI khususnya di pihak HEPA.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak HEPA khususnya kepada TNC HEPA yang memberi jaminan bahawa Program Penggerak Ad-Din ini tidak dimansuhkan atau dibatalkan oleh HEPA sebagaimana yang didakwa sebahagian pihak kerana program ini telah berjalan dengan lancar selama dua tahun lebih. Dalam tempoh tersebut ramai mahasiswa dan mahasiswi UPSI menjayakan program ini dan mendapat manfaat yang amat besar dalam pembangunan akhlak dan sahsiah bakal-bakal guru di UPSI.

Justeru itu, saya mengharapkan seluruh warga penggerak “Program Rakan Penggerak Ad-Din” di peringkat pusat dan peringkat kolej bersabar dan berdoa agar program ini dapat berjalan lancar seperti sedia kala. Melihat kepada kepentingan dalam pembangunan sahsiah mahasiswa/wi UPSI terutamanya dalam membimbing pelajar semester satu dan semester dua, saya mengharapkan pihak HEPA khususnya TNC HEPA dapat memberi ruang kepada program ini dijalankan dengan seberapa segera.

Sekian.

Bagi saya alasan mahu menangguhkan sementara program RPA bagi memberi peluang kepada program Islamik yang lebih besar dan hebat yang akan dilakukan oleh HEPA seakan-akan kurang relevan.

Adakah RPA akan menganggu program yang dikatakan besar dan hebat itu? Entahlah kita semuanya mahasiswa. Kita ada pemikiran masing-masing. Kita nilailah.

Diharapkan program yang dikatakan "besar" dan "hebat" itu benar-benar berkesan bagi membimbing sahsiah mahasiwa UPSI. Kecil pun tidak apa, asalkan berkesan. Bak kata Hilala Asyraf dalam bukunya, Batu Bata Kehidupan. Allah S.W.T bukan menilai amalan kita dari sudut "aksaru" tetapi "ahsanu".

Buat apa sedekah RM1000 kalau sekadar untuk menunjuk-nunjuk. Lebih baik sedekah 10 sen yang disusuli dengan hati yang ikhlas dan tawadduk.

Buat masjid berjuta-juta, luasnya berkaki-kali persegi namun kesudahannya hanya Iman dan Bilal sahaja yang solat berjemaah. Apa faedahnya?

Program besar buat apa kalau kesudahannya sama sahaja. Yang kecil jauh lebih baik jika kesudahannya adalah sesuatu yang memberansangkan.

Menganggu program lainkah?
Bagi saya tidak pun. 6 kali perjumpaan untuk 1 semester. Yang diwajibkan hanya 2 semester. 2 semester itu bersamaan dengan setahun. Bermakna hanya 12 kali perjumpaan dalam setahun. Masa yang diambil pun kurang daripada satu jam.

Namun jika benarlah akan datang suatu ketika RPA ini dimansuhkan, bagi saya ia adalah sesuatu yang sangat merugikan. Sangat-sangat merugikan.

Kenapa saya mengatakan begitu?
Sebabnya adalah bersandarkan pengalaman pada diri sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah didedahkan dengan suatu majlis agama yang berbentuk usrah ataupun halaqah. Yang saya tahu cuma tazkirah yang biasanya dipanggil dengan Kuliah Subuh dan Kuliah Magrib.

Bagi saya pendekatan program RPA lebih berkesan. Hal ini kerana, program RPA bukan sahaja menekankan pengetahuan agama malah apa yang saya paling suka adalah program RPA menekankan ukhuwah sesama ahli kumpulan usrah.

Disini saya kenal perkataan "taaruf", "naqib,naqibah", "mad'u" dan beberapa lagi. Permulaan program ini juga adalah taaruf. Mengenali orang yang selama ini kita tidak kenali dengan lebih rapat. Kemudian semakin rapat. Dan akhirnya membuahkan hubungan ibarat sebuah keluarga. Alhamdulillah.

Dengan kata lain, pengertian cara hidup Islam lebih mudah difahami dalam kumpulan-kumpulan halaqah ini. Allah S.W.T mempertemukan saya dengan program RPA yang banyak mengubah cara hidup Islam saya.

Justeru, bagi saya program RPA ini sama sekali tidak patut dimansuhkan malah tidak wajar ditangguhkan.

Biarlah pelajar baru ambilan 2011/2012 ini dapat merasakan apa saya telah rasakan ini. Saya hanyalah daripada sekolah kebangsaan yang pendidikan agamanya hanya suam-suam kuku. Program RPA inilah yang banyak memberi kefahaman dengan lebih jelas lagi tentang Islam kepada saya selain daripada kuliah-kuliah agama di masjid.

Saya amat-amat berharap semoga program RPA ini dalam berjalan seperti sedia kala.

Buat sahabat dan sahabiah semua, bersama-sama kita memperjuangkan program RPA ini supaya diteruskan. Supaya "adik-adik baru" kita dapat merasakan apa yang telah kita rasakan.

Sekian dulu coretan ini. Semoga coretan ini tidak mendatangkan perasaan ujub, riak dan takabbur dalam diri ini.

Wassalam.....