Powered by Blogger.

Kenapa Tidak Mahu Solat Berjemaah?

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabat dan sahabiah sekalian....

Alhamdulillah, kesempatan yang masih diberikan lagi pada hari ini saya mahu mencoretkan mengenai satu topik. Topik tersebut adalah "solat berjemaah".


Solat berjemaah adalah solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Sesungguhnya solat berjemaah ini sememangnya dituntut oleh Allah S.W.T dan menjadi salah satu daripada sunnah Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T berfirman:

Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk. (Surah Al-Baqarah: Ayat 43)

Berkenaan dengan hukum mengenai solat berjemaah ini terdapat beberapa pendapat oleh para ulama. Untuk mengetahui lebih lanjut sahabat semua boleh rujuk melalui alamat di bawah:


Saya menulis coretan ini adalah untuk mengulas berkenaan dengan amalan solat berjemaah ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya. Pengalaman saya dalam bersolat jemaah ini bukanlah berpuluh-puluh tahu. Dahulu, setiap kali mak menyuruh untuk pergi masjid untuk solat berjemaah, macam-macam alasan saya bagi. Pada dasarnya hal ini berpunca daripada sikap saya sendiri yang tidak pandai bersosial. Malu tak bertempat kerana bagi saya dahulu, kalau solat berjemaah semestinya kita akan berjumpa dengan ramai orang. Ditambah pula terlampau leka dengan benda-benda yang lagha seperti televisyen.

Namun apabila tiba di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini, saya dianugerahkan seorang sahabat yang rajin solat berjemaah. Alhamdulillah. Boleh dikatakan dialah yang bawa saya untuk mengenali solat berjemaah ini. Biasanya kalau duduk di rumah dahulu, hanya solat Jumaat sahaja saya lakukan secara berjemaah. Sem satu saya tidak rasa perubahan yang sangat ketara. Sem 2 yang dilalui dan bakal tamat dua tiga hari lagi banyak memberi perubahan. Saya mengenali ramai senior-senior yang boleh dikatakan semuanya mesra, sempoi, baik hati dan lain-lain lagi disamping mula rapat dengan beberapa sahabat lain seperti Khairi, Sakirin, Hisyamuddin, Syahrul dan Faris.

Rasanya ramai yang tahu mengenai salah satu sabda Rasulullah S.A.W mengenai kebaikan solat berjemaah. Sabda yang bermaksud:

"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27x darjat" (H.R. Bukhari dan Muslim)


Beza yang amat ketarakan kan antara solat sendirian dan solat berjemaah. Namun, kenapa kita masih solat sendirian? Adakah?
  1. Malu
  2. Malas
  3. Sibuk
  4. dll.....
Sesungguhnya rugi tau kalau memberi alasan dalam berbuat kebaikan. Jom kita main satu analogi.

Suatu hari kita pergi ke pasar raya untuk beli donut. Satu kedai beli 1 donut dapat 1 donut. Satu kedai lagi beli 1 donut dapat 27 donut percuma. Rasa sama, bentuk sama, harga sama, saiz sama cuma kedai berlainan. Yang mana satu pilihan kita? Semestinya kita akan pilih yang beli di kedai yang beli 1 donut dapat 27 donut kan?

Apa????
Nak beli kat kedai beli satu dapat 1? Tak berapa cerdiknya!!! -___-(gurau jew)

Begitulah juga dalam solat. Kalau kita sembahyang seorang darjatnya hanya satu. Manakala kalau kita sembahnyang berjemaah darjatnya akan ditinggikan kepada 27 kali ganda. SubhanAllah.

Apa yang kamu melalut nie?

Asif...masih tak faham ke? Takpelah...cuba tengok dan hayati video di bawah ini...



Macam mana? Dah faham apa yang ingin saya sampaikan tadi??? Alhamdulillah....^_^

Seterusnya, apa lagi kehebatan dalam solah berjemaah ini?

Pahala yang diberi oleh Allah S.W.T bukan sekadar daripada solat berjemaah sahaja. Tapi dinilai dari sekecil-kecil perbuatan kita.

  1. Niat kita untuk solat berjemaah pun sudah mendapat ganjaran pahala.
  2. Kalau kita sembahyang seorang dirumah semestinya pakaian kita ala kadar sahaja. Tapi apabila kita mahu ke surau atau masjid semestinya kita akan memakai pakaian yang cantik dan bersih serta memakai bau-bauan. Perkara ini adalah sunat. Apabila sunat ganjarannya adalah pahala.
  3. Berjalan ke masjid. Ambil wudhu daripada rumah lagi dan berjalanlah ke masjid atau surau dan setiap langkah kita ada kebaikannya sendiri dan mendatangkan ganjaran pahala.

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesiapa yang berjalan untuk solat fardhu maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan jika ia berjalan untuk solat sunat maka pahalanya seperti orang yg mengerjakan umrah sunat" (H.R. At-Tabrani)

Mudah jew kan. Jika kita tengok perkara tersebut sangat kecil dan biasa sahaja tapi Allah S.W.T memandangnya sebagai suatu yang baik dan berhak mendapat ganjaran pahala.

Bagi saya juga, solat berjemaah pemudah kita untuk melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain. Antaranya:

  • Solat sunat rawatib: Sementara menunggu jemaah lain sampai, selepas muazzim selesai melaungkan azan, jom solat sunat dua waktu terlebih dahulu(qobliah) dan selepas selesai imam aminkan doa, sekali lagi kita solat rakaat(ba'diah).
  • Membaca Al Quran: Kalau tak sembahyang rawatib pun mesti kita ambil Al Quran kan untuk dibaca sementara menanti jemaah lain sampai.
  • Zikir: biasanya kalau perkara ini jarang-jarang kita buat. Tapi apabila kita solat berjemaah secara automatiknya imam akan memimpin zikir untuk kita. Tak kan kita nak lari balik kot, jomlah kita berzikir bersama-sama dengan imam.
  • Doa: kadang-kadang kita tidak akan berdoa kalau kita sembahyang bersendirian. Sudah bagi salam kiri kanan terus lipat sejadah. Kalau kita solat berjemaah, seperti zikir tadi, Imam akan sekali lagi memimpin kita doa. Dengan syarat kita jangan tergesa-gesa untuk keluar.
  • Sedekah: kalau kat rumah agak-agak kita dapat bersedekah. Wallahualam. Tapi kalau kita berjemaah kat surau atau masjid, sudah semestinya tabung tersedia. Apabila kita bersedekah, tinggi darjatnya di sisi Allah S.W.T. Tambahan pula untuk masjid. Sedekah yang kita bagi secara langsung akan dibelanjakan ke jalan yang betul dan kita juga tak la rasa was-was kan untuk bersedekah.
  • Masjid ilmu: kebiasaanya, masjid dan surau akan mengadakan kuliah mahrib sementara menunggu waktu Isyak masuk. Kadang-kadang ada kuliah Subuh dan juga Kuliah Muslimat. Kuliah = Majlis Ilmu = Taman-Taman Syurga...^_^

Kita tengok Astro ada pakej-pakej untuk kita langgankan. Begitu juga apabila kita bersolat jemaah. Pakej lengkap didatangkan untuk kita tanpa perlu dibayar dan tiada caj tersembunyi.


Memang banyak kebaikan yang kita dapat apabila bersolat jemaah nie. Kalau nak jelas memang panjang lebar. Saya hanya mampu ulas sekadar yang saya tahu sahaja di samping pengalaman. Selepas solat, kita akan bersalam-salam dengan semua jemaah, paling tidak pun dengan orang sebelah kiri dan kanan kita. Secara langsungnya Ukhuwah akan dipupuk walaupun dengan secara tidak langsung.

Selain itu, saya tengok solat berjemaah ini cantik. Susunan yang teratur, berbaris-baris. Iman di depan, makmum lelaki di belakang imam dan makmun wanita di belakang makmun lelaki. Sebelum solat berjemaah bermula, Imam akan memeriksa dahulu sama ada saf betul dan rapat. Dah macam nak pergi berperang di medan jihad kan? Berdiri bulu roma. Tengok saja di Masjidilharam. Kita dapat lihat betapa cantik, tersusun rapi dan teraturnya jemaah apabila bersolat.

Solat berjemaah bermakna solat diawal waktu. Rasulullah S.A.W bersabda:

"Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu." (riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

Oleh itu, Insya-Allah, waktu solat kita tidak akan tertangguh lagi dan akan sentiasa menepati masa. Selain itu, kalau kita sembahyang berseorang, mungkin terdapat kekurangnya tetapi melalui solat berjemaah ini, Insya-Allah dapat menampungnya.

Solat berjemaah melambangkan perpaduan umat Islam. Melayu, Cina, India, walau apa bangsa sekalipun, mereka di bawah hanya bergerak mengikut satu arahan iaitu “Allahu Akbar”. Masih terngiang-ngiang pesanan daripada Ustaz Dusuki yang berbunyi:


Walaupun dimana kita berada. Solat berjemaah jangan tinggal. Solat bersendirian diibaratkan sebagai lambang perpecahan umat Islam.


Saya berkongsi benda ini untuk kita sama-sama kita praktikkan. Saya gunakan perkataan "kita" bukan "anda" kerana semua yang saya bagitahu disini masih saya belum amalkan sepenuhnya lagi. Saya menulis perkara ini sekadar untuk mendidik diri sendiri supaya jangan lalai dan rugi dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T melalui solat berjemaah ini.


Sama-sama kita lakukan perlahan-perlahan tetapi istiqamah. Mula dengan solat Magrib berjemaah dahulu, kemudiaanya, Isyak lepas tu Zohor dan Asar dan Insya-Allah, Subuh. Kalau kita solat Subuh berjemaah bermakna tiada lagilah istilah "Subur Dinosour" atau "Subuh Gajah" tetapi sebaliknya akan berubah kepada "Subuh Berjemaah".
Memang sayang seribu kali sayang sekiranya masjid dibina dengan besar, cantik, kelengkapan serba moden tetapi jemaahnya cuma satu saf. Sama-samalah kita menyerbu surau-surau koleh kita. Waktu nak balik kampung pun dah nak dekat. Bermakna, rajin-rajinlah memurnikan masjid dan surau-surau di kampung kita.

Yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang lemah itu adalah diri saya sendiri. Sekiranya perkongsian ini ada cacat cela harap sahabat dan sahabiah cuba komen untuk saya perbetulkan. Maklumlah, ilmu saya masih cetek lagi. Semoga perkongsian ini tidak membangkitkan rasa ujub dalam diri sebaliknya melahirkan "izzah".

Selamat beramal.

Wassalam..

0 comment:

Post a Comment