Powered by Blogger.

Materialistik: Satu Bencana Besar!

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabat dan sahabiah yang sudi menjenguk blog yang tak seberapa ini.

Ucapan syukur dirafakkan kepada Yang Maha Esa kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas di dunia yang sementara ini.

Sebulan tak ada post baharu tapi untuk bulan ini(Julai) dah masuk post yang ketiga. Entry kali ini mahu berkongsikan mengenai satu sifat yang boleh dikatakan telah sebati dalam masyarakat dunia pada masa kini. Tak kiralah dia agama apa pun, bangsa apa pun. Tapi sifat ini untuk mereka yang beragama Islam tersangatlah berbahaya. Bukan sahaja berbahaya untuk individu dan masyarakat malah turut mengancam agama Islam di muka bumi milik Allah S.W.T ini.


Sifar yang saya maksudkan tadi adalah sifat "MATERIALISTIK". Materialistik ini kalau didefinisikan secara mudah adalah mencintai, mengutamakan kebendaan melebihi segala-galanya termasuk Allah S.W.T.

Saya mahu berkongsi bersama-sama sahabat serta sahabiah sekalian mengenai beberapa kesan buruk yang kita sedar mahupun kita buat-buat tidak sedar mengenai sifat materialistik ini.

Membunuh Kecintaan Kepada Ilmu

Bagaimana kecintaan kepada ilmu boleh dibunuh oleh sifat materialistik ini teorinya mudah sahaja. Masa kita belajar sejak dari umur 6 tahun hinggalah sekarang betulkan niat kita belajar? Betulkan kita belajar untuk mendapat ilmu semata-mata.

Bagi saya, saya katakan tidak. Kebanyakan kita telah ditanam dalam diri kita bahawa matlamat kita belajar adalah untuk mendapat pekerjaan yang memberi ganjaran yang lumayan pada masa hadapan.

Akibatnya ramai dalam kalangan kita bimbang sekiranya habis sahaja kita belajar kita tidak memperolehi pekerjaan sepertimana yang telah dihajatkan. Contohnya mereka yang belajar di universiti yang mengambil jurusan seperti pendidikan. Perasaan bimbang menghantui setiap mahasiswa sekiranya suatu hari nanti apabila telah "graduate" mereka tidak dapat menjadi guru.

Dengan pekerjaan bila-bila masa sahaja kita akan boleh hilangnya tetapi dengan ilmu yang didalami dengan ikhlas kerana Allah S.W.T maka ianya akan kekal sampai bila-bila walaupun Illahi telah menjemput kita. Sabda Rasulullah S.A.W:

Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya”
[Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari]

Melahirkan Pemimpin Yang Fasik

Ramai orang berlumba mahu jadi pemimpin. Berlumba-lumba mahu pangkat yang lebih besar. Tapi ramai dalam kalangan mereka tidak sedar bahawa besarnya tanggunjawab seorang pemimpin di sisi Islam. Kunci paling penting untuk seorang pemimpin adalah beriman dan bertaqwa. Melalui keimanan dan ketaqwaan ini maka akan lahirlah kejujuran, keadilan dan sebagainya.

Namun pada masa kini, ramai yang berlumba-lumba mahu jadi pemimpin untuk menjadi kaya. Pemimpin sebenarnya bukanlah kerjaya yang menjaminkan kehidupan yang mewah. Lihat sahaja Rasulullah S.A.W. Baginda penuh dengan kesederhanaan. Mengutamakan ummahnya melebihi diri sendiri. Itulah sebenarnya ciri seorang pemimpin.

Zaman kini penuh pemimpin yang korupsi, pemimpin yang mengutamakan perut mereka lebih daripada kebajikan rakyat. Puncanya, sifat materialistik seorang pemimpin itu. Mereka melihatkan pangkat itu sebagai wang bukannya sebagai amanah. Selenggara rumah berjuta ringgit, cincin berjuta ringgit. Kalau benarlah cincin itu dibeli dengan duit simpanan sendiri maka disitu telah mencerminkan betapa borosnya pemimpin masa kini. Kalau dibiayai melalui duit rakyat maka saya yakin tiada rakyat akan menghalalkannya.

Gerakan Kristianisasi

Sifat materialistik merosakkan akidah seseorang. Bukti ini yang paling jelas lagi nyata. Gerakan Kristianisasi. Banyak menyerang negara-negara seperti Sudan, Indonesia malah telah pun bertapak di Malaysia. Gerakan Kristianisasi adalah satu gerakan untuk memurtadkan orang Islam. Gerakan ini dibiayai oleh institusi gereja di negara-negara barat seperti Perancis, Itali dan lain-lain lagi.

Caranya yang digunakan untuk memesongkan akidah umat Islam adalah dengan bertapak di kawasan yang mempunyai kemiskinan yang tinggi. Mereka menunjukkan kebaikan mereka dengan memberi bantuan berbentuk wang ringgit dan harta benda. Orang miskin kebanyakkan mudah terpengaruh dengan gerakan ini. Mereka yang biasanya hidup melarat, apabila dibantu maka mereka akan mudah terhutang budi.

Maka akan timbulah dalam pemikiran orang miskin yang ditolong oleh Gerakan Kristianisasi tadi keburukan orang Islam dan kebaikan orang kafir maka mereka mengambil keputusan untuk keluar daripada Islam. Diceritakan oleh Ustaz bahawa mereka yang berjaya mengkafirkan orang Islam maka mereka akan dibayar RM2000-RM5000 per bilangan orang yang dimurtadkan.

Mengikut buku karya Ann Wang Seng dalam bukunya Murtad:Jangan Pandang Sebelah mata, satu laporan di sebuah perkampungan Islam dalam daerah Ponogoro, Jawa Timur telah bertukar menjadi perkampungan Kristian apabila seorang guru Katolik tiba di kampung tersebut. Untuk memahami keadaan murtad pada masa kini anda semua boleh mendapatkan buku tersebut. Saya gerenti....TAK RUGI!!!!

Kekayaan Dimonopoli Oleh Golongan Tertentu

Harta sepertimana pemerintah adalah satu amanah. Jika kita tengok situasi kini, harta ini hanya dimonopoli oleh golongan tertentu. Kita tengok mereka bangga dengan Gelaran Manusia Terkaya Di Dunia atau Manusia Terkaya Di Malaysia.

Harta bukanlah suatu untuk dibangga-bangga. Tetapi harta yang dikurniakan oleh Allah S.W.T adalah amanah untuk dibahagikan kepada mereka yang tidak mampu. Ada mereka yang berharta ini lupa diri. Mereka beranggapan bahawa wang yang mereka dapat adalah daripada usaha mereka. Orang miskin ini orang yang malas.

Mereka sebenarnya salah. Rezeki itu kurniaan Allah S.W.T. Ada yang diberi banyak. Ada yang diberi sedikit. Yang kaya itulah sepatutnya membantu yang miskin. Allah S.W.T memurkai mereka yang tidak membantu golongan yang miskin ini sepertimana firman-Nya dalam Surah Al Maaun(Ayat 1-3):

Tahukah(kamu)orang yang mendustai agama? Maka itulah orang yang mengenherdik anak yatim. Dan tidak mendorong memberi makan kepada orang miskin.

Ada banyak lagi kesan buruk apabila mempunyai sifat materialistik. Tidak mahu memanjangkan lagi hujah sekadar mahu mengambil contoh individu yang tidak menjadikan harta mereka sebagai Tuhan. Antarnya para khalifah Khulafa Ar Rasyidin terutamanya Abu Bakar As Siddiq yang menginfakkan kesemua hartanya untuk jalan Allah S.W.T. Selain itu, Fatimah Az Zahra, puteri kesayangan nabi yang yang berkahwin dengan Saidina Ali walaupun Saidina Ali tidak berharta. Rabiatul Adawiyah yang sanggup menjalankan kehidupan yang dhaif dengan hanya berpakaian compang camping dan tinggal di rumah yang kecil. Baginya harta benda melalaikan dan menganggu kecintaannya kepada Sang Khaliq. Bukan tiada mahu membantunya tetapi dia yang menolakkannya dengan alasan dia bukan orang yang memerlukan.

Saya mahu mengingati diri saya bahawa tujuan hidup bukan untuk wang. Tujuan hidup adalah supaya dirahmati oleh Pemilik Hari Pembalasan.

Setakat itu sahajalah tinta pada malam yang sejuk ini. Tulis banyak-banyak pun bukan ada yang mahu baca. Yang membaca entry ini ucapan Alhamdulillah kepada Maha Esa dikirimkan.

Insya-Allah. Panjang umur, adalah entry baru.

Sekian.

Wassalam......

0 comment:

Post a Comment