Powered by Blogger.

Saya Jatuh Hati Dengan Ang Wang Seng

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat sahabat serta sahabiah sekalian......

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi dengan limpah dan kurnia-Nya kerana diberi kesempatan untuk mencoretkan satu titipan buat perkongsian bersama.

Perkongsian kali ini adalah untuk bercerita mengenai seorang penceramah bebas dan penulis berbangsa Cina dan beragama Islam. Siapa lagi kalau tidak lain tidak bukan, Ang Wang Seng.


Syukur juga diucapkan kepada Illahi kerana tanggal 15 Julai 2011 dipertemukan dengan Ustaz Ang Wang Seng dalam sebuah majlis ilmu di Masjid Mukim Chekok(kampung saya).

Bercerita mengenai Ustaz Ang Wang Seng ini, saya mula mengenai beliau secara tidak langsung melalui sebuah bukunya yang bertajuk "Murtad:Jangan Pandang Sebelah Mata". Semasa saya beli buku ini, cetakannya sudah pada angkat empat dan menurutnya, cetakan kelima adalah pada masa terdekat.

Alhamdulillah, banyak perkongsian yang bermanfaat dikongsikan olehnya dalam kuliah magrib malam ini(15/07/11). Kuliah magribnya pada malam ini tidak terikat dengan mana-mana tajuk. Boleh dikatakan kuliah magribnya malam ini yang mengambil masa lebih kurang satu jam setengah merangkumi pelbagai aspek. Dari bab akidah ke bab ibadat dan tauhid. Dari tauhid ke isu semasa dalam negara. Dari isu semasa beliau menceritakan pula secara ringkas buku-buku yang ditulisnya. Diakhiri dengan sirah.

Dalam kuliah magribnya juga dikongsikan pelbagai pengalam hidupnya. Dari mula-mula dia memeluk Islam dia menceritakan perihal penerimaan keluarganya terhadap keputusannya. Penerimaan awal keluarganya adalah bercorak menentang. Dia memberitahu terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keluarganya menentang dia memeluk Islam. Antaranya:

  1. Ibu bapanya bimbang sekiranya dia memeluk Islam bermakna dia akan terputus hubungan.
  2. Keluarganya juga bimbang sekiranya dia memeluk Islam bermakna dia masuk Melayu.

Diceritakan pula mengenai perihal masyarakat Islam di China. Diceritakan bagaimana Islam itu berkembang di negeri China dari dahulu sehingga kini dan dikongsikan di dalam sebuah bukunya yang bertajuk "Islam Di China". Banyak fakta baru diperolehi dan kita tidak akan dapat dengan hanya belajar mata pelajaran Sejarah di sekolah.

Melalui cerita yang dikongsikan secara ringkas ini, terbit rasa kagum terhadap masyarakat Islam di negara China. Tiba-tiba terasa mahu melawat China. =)

Satu fakta yang tidak disorok olehnya adalah dia merupakan antara bekas tahanan ISA. Sebabnya ditahan kerana memberikan ceramah. Bukan setakat ditahan di bawah ISA, dia juga pernah beberapa kali ditahan.

Secara keseluruhannya, terbit rasa kagum terhadap keperibadianya. Wajahnya yang putih. Jernih dengan nur keimanan. Sikapnya yang tawadduk. Tauhid yang tinggi. Lancar dalam berhujah yang diperkuatkan dengan Al Quran, Hadis dan pengalaman membuatkan semua jemaah tersenyum walaupun pertama kali berjumpa dengannya.

Satu lagi saya "respek" dengannya adalah rasa tanggunjawabnya terhadap isu murtad. Beliau yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan China India Muslim amat peka dengan isu ini. Berbeza dengan kita yang dilahirkan sejak azali Islam. Kadang-kadang kita tak ambil kisah pun mengenai isu murtad ini. Masing-masing jaga hal masing-masing. Bercakap mengenai isu murtad ini teringat pula dengan Ambiga yang memperjuangkan kemurtadan Lina Joy. Ramai yang melahirkan rasa marah kepada Ambiga. Kebetulan pula Malaysia dilanda dengan Isu Perhimpunan Bersih yang diilhamkan oleh Ambiga ini. Ramai yang tidak bersetuju dengan Perhimpunan Bersih ini dengan mengatakan bahawa Ambiga ini memperjuangkan murtad. Tidak mahu mengulas isu ini sekadar melahirkan rasa kesal.


Kesal dengan mereka dalam kalangan kita hanya sibuk berbicara mengenai isu murtad ini apabila hanya digembar gemburkan. Kita tidak sedar sudah banyak kes yang orang yang murtad ini. Ingat kes Aisyah Bukhari? dan beberapa lagi kes(boleh dibaca dalam buku Murtad:Jangan Pandang Sebelah Mata). Sepatutnya dari dulu lagi kita buka mata bukan hanya buka mata ketika Isu Bersih baru-baru ini. Tu yang Melayu, yang mualaf dan kembali murtad belum lagi dikira.

Maka lahirlah satu lagi buku karyanya yang belum lagi berada dalam pasaran yang bertajuk "Setiap Kamu Adalah Pendakwah". Buku yang ditulis untuk membantu berdakwah kepada orang bukan Islam.

Buku-buku yang lain ditulisnya adalah "Biar Orang Cina Pimpin Islam" dan beberapa lagi. Karyanya boleh dikatakan melangkumi sempadan perkauman. Karya boleh dikatakan untuk membuktikan bahawa Islam itu syumul. Islam itu bukan untuk Melayu. Islam tidak mementingkan ras dan warna kulit. Dan hanya dengan Islam sahajalah perpaduan dapat diwujudkan.


Saya mengistiharkan pada hari ini bahawa "Saya Jatuh Hati Dengan Ustaz Ang Wang Seng". Saya senaraikan Ang Wang Seng antara penceramah bebas dan penulis idola saya.

Semoga perkongsian ini dapat membuka hati orang Melayu supaya mengetepikan ketaksuban kepada sesuatu kaum. Jangan menganggap Islam itu hanya untuk Melayu. Jangan cerca sekiranya kita tengok orang bukan Islam membaca Al Quran kerana disitulah mereka akan menemui kebenaran.

Panggil Saya Cina Muslim
Jangan Panggil Saya Cina Kafir
Kalau Nak Panggil Cina Mualaf Pun Boleh
^_^
(Ustaz Ang Wang Seng)

Setakat ini sahaja dahulu. Insya-Allah, kalau sempat saya habis baca buku-bukunya saya akan kongsikan disini.

Terima kasih kerana sudi baca entry yang tak seberapa ini.

Wassalam......

1 comment:

  1. saya juga kagum dengan ustaz nih

    ReplyDelete