Powered by Blogger.

Titik Kecil

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sahabat dan sahabiah sekalian. Selawat serta salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan para sahabat.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapat saya sekali lagi menulis sebuah coretan sebagai perkongsian bersama. Kali ini saya mahu menjentik minda anda semua.

Perhatikan gambar yang saya letak di atas. Kenapa agaknya saya letak gambar yang entah apa2 entah. Sebenarnya saya mahu berkongsikan sesuatu yang bukan lahir daripada idea asal saya tetapi melalui pembacaan saya melalui novel Sinergi karya Hilal Asyraf.

Satu gambar berlatar belakang putih dan mempunyai tanda hitam ditengah-tengahnya. Apa yang lebih menarik perhatian anda? Latar belakang putih atau titik hitam yang berada ditengah-tengah itu? Kebanyakan kita akan lebih tertarik kepada titik hitam kecil di tengah-tengah itu. Betulkan?

Persoalannya sekarang apakah motif saya sekarang?

Sebenarnya saya ingin mengaitkan gambar di atas tadi dengan isu yang berada di sekitar kita. Cuba anda bayangkan yang kertas itu adalah seseorang, putih itu adalah kebaikannya dan yang hitam itu adalah kejahatan yang dilakukan olehnya. Sepertimana apa yang berlaku semasa saya menyuruh anda semua tengok kertas tadi begitulah berlaku dalam masyarakat kita.

Masyarakat kita yang macam mana?

Masyarakat kita yang suka menghukum dan sukar memaafkan kesalahan. Kita tengok kertas tadi walalupun keseluruhan ruang dipenuhi dengan putih tetapi titik hitam yang kecil itu juga menarik perhatian kita. Dengan kata lain, titik hitam kecil itu secara langsung terus menutup tumpuan kita ke atas ruang yang putih. Sekarang kita kaitkan dengan seseorang. Seseorang yang baik dan secara sengaja atau tidak sengaja melakukan kesalahan walaupun sekecil titik tadi. Apa yang akan dinilai oleh orang ramai? Mereka akan lebih nampak dosa yang dilakukan walaupun kebaikan yang dilakukan melebihi dosa yang dilakukan. Dengan kata lain, dosanya tadi terus mengaburi kebaikan yang telah dilakukan.

Perkara yang dikesalkan kini adalah sikap kita yang sukar memaafkan kesalahan orang lain. Hebatkan sangat kita? Sedangkan nabi ampunkan umatnya, sedangkan Allah S.W.T menerima taubat umatnya yang betul-betul insaf, inikan kita insan biasa. Ada diantara kita akan menggunakan alasan untuk menghukum mereka yang bersalah. Menghukum tidak salah tetapi berpada-padalah. Terimalah maaf mereka sekiranya mereka benar-benar insaf. Bagi yang tidak mahu insaf pula, disinilah wujudnya peranan kita. Ajak mereka, didik mereka untuk keluar daripada kelompok kezaliman dan maksiat. Semestinya kita tidak mahu, titik hitam yang kecil tadi merebak ke seluruh ruang putih hingga suatu hari nanti boleh membawa kesan yang buruk kepada individu terbabit.

Disini juga saya mahu kaitkan dengan satu kaedah iaitu "husnu dzon" atau bersangka baik. Walaupun bersangka baik ini selemah-lemah ukhuwah, namun bersangka baik dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Kesalahan yang dilakukan oleh individu tadi mesti ada puncanya. Kita perlu kaji puncanya mengenai sebab musabab individu tadi melakukan kesalahan dan bukannya cepat menghukumnya. Contoh situasi:

Situasi: Ali mencuri
Mereka yang suka menghukum akan lakukan:Mencerca dan memulau Ali
Mereka yang 'husnu dzon" akan lakukan:Memikirkan sebab Ali mencuri dan cuba membawa Ali kepada kebenaran

Terus menghukum tidak dapat menyelesaikan keadaan tetapi dilihat akan menjadi parah lagi. Individu yang dihukum oleh masyarakat ini akan merasa tiada lagi ruang untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Justeru fikiran mereka akan menjadi negatif dan seterusnya membawa kepada kerosakan akhlak dan pemikiran.

Justeru, sama-samalah kita muhasabah diri dan istiqamah. Perjuangan kita untuk Allah S.W.T lebih besar dan jangan jadikan perkara ini sebagai perkara yang boleh menjadikan keretakan hubungan kita sesama Islam. Terapakan "ukhuwah fillah". Ukhuwah fillah adalah persaudaraan kerana Allah S.W.T. Jika persaudaraan kita kerana Allah S.W.T maka sama-samalah kita membantu saudara kita keluar daripada maksiat kerana tujuan kita adalah sama iaitu untuk ke syurga yang kekal abadi. Hayatilah ungkapan ini

"Kalau kau terjun ke neraka, aku akan tarik kau untuk naik semula, berpimpin dengan kau ke syurga"
Diharap sahabat dan sahabiah sekalian faham perkara yang saya ingin sampaikan. Sekiranya khilaf, saya memohon maaf dan harap perbetulkan kerana ilmu yang masih cetek. ini Semoga bingkisan ini dapat kita manfaatkan untuk ukhuwah kita dan keimanan kita kepada Allah S.W.T.

Wassalam.......

0 comment:

Post a Comment